Tuesday, August 19, 2008

Kerana dialah aku.....

Termenung aku kala senja mula menampakkan warnanya.
Mataku tertancap pada langit yang kian memerah. Kemudian aku terdengar-dengar seperti ada orang memanggil namaku.

"Parhan.....Parhan..."kuat suara itu memanggil. Sebutan yang sepatutnya berbunyi 'Farhan' langsung berubah maksud.

Aku tidak menyahut. Hanya lekas-lekas mencuci kaki ku yang kotor akibat meredah semak mencari paku-pakis untuk bermain 'masak-masak' tanpa berkasut.

"Parhan..!!" Semakin keras suara itu memanggil.

"Iya, pah. Nak masuk la ni."

"Apa anak perempuan dah azan maghrib baru ingat nak balik," Opah ku membebel-bebel dengan loghat perak yang pekat.

"Dah, pegi masuk sembahyang, lepas tu amik al-Quran," suruhnya.

Beginilah nasibku setiap kali musim cuti sekolah. Opah ku dari Kuala Kangsar akan duduk bersama kami untuk menengok-nengok kami yang sedia maklum nakal dan degilnya. Tapi dengan opah, kami tak berani nak melawan. Semuanya mengikut macam lembu dicucuk hidung.

"Ha sambung lagi mukasurat sebelah," suruh opahku.

"Tapi pah, tadi dah 5 muka surat," jawabku.

"Baca lagi," tegas opahku.

Aku yang duduk bersila dari tadi sudah mula lenguh-lenguh. Kaki ku sudah tidak selesa dan perlu diluruskan. Namun aku hanya menurut kata opahku untuk meneruskan pembacaan al-Quran.

Setelah selesai membaca dan menandakan dimuka surat terakhir yang aku baca untuk hari itu aku terus bangun untuk menonton tv. Terus kaki ku diserang rasa kebas. Ngilu betul rasanya.

"Parhan.." Suara kuat itu kedengaran lagi, melanggar gegendang telingaku yang sedang nyenyak tidur.

"Bangun! Sembahyang subuh. Dah nak habis waktu dah," marah opahku.

Aku terpisat-pisat mendengar teriakan opahku. Rasa menyesal pula tidak mengikut sepupuku ke ruhmahnya. Mesti sekarang ni aku tengah berselubung lagi dengan selimut. Dengan rasa yang teramat malas, aku bangun juga untuk mengambil wudu' dan seterusnya menunaikan solat subuh.

"Ha nak pegi mana tu?" Tanya opahku.

"Jangan nak tidur balik, pegi amik al-Quran. Sambung baca juzu' yang semalam."

"Eeee, malas la" Aku melawan. Tetapi kakiku tetap melangkah mengambil al-Quran dan duduk mengadap opahku. Dan seperti biasa kaki ku sudah tak tertahan lagi kebasnya.

Sepanjang cuti sekolah pada waktu itu, opahku akan berada dirumah dan pada setiap kali selepas waktu solat (iya setiap selepas waktu solat!) kaki ku akan kebas sekebas kebasnya kerana membaca al-Quran yang kadang-kadang lebih dari 10 muka surat.

Diwaktu rakan-rakan sebayaku yang lain hanya khatam sekali kebanyakannya dan ada juga yang langsung tidak mengenal huruf jawi apatah lagi membaca kitab Allah itu, tetapi disebabkan opah, aku khatam al-Quran sebanyak 3 kali sewaktu disekolah rendah. Itu tak termasuk lagi khatam semasa di bulan Ramadhan.

Oleh sebab opahlah aku terhindar dari suka meninggalkan solat. Surah yasin semakin dekat kepada hatiku dan ayat kursi dan surah al-mulk sering menjadi bacaanku sebelum tidur.

Menyesal dulu aku kadang-kadang melawan opah yang melarangku untuk bermain di tengah hari yang panas terik. Menyesal aku apabila mengatakan dia lebih sayangkan adik-adikku daripada diriku. Menyesal aku apabila mengharap supaya opah tidak datang ke rumah kami pada setiap kali cuti sekolah. Pada hakikatnya, Ramadhan yang akan datang ini genaplah 3 tahun pemergian opah yang amat aku sayangi. Air mataku yang bertakung dari tadi akhirnya gugur juga tatkala azan maghrib singgah ke pendengaranku. Apa yang mampu aku lakukan sekarang hanya menyedekahkan Surah al-Fatihah kepadanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

-kakyung-

No comments: